SESIAPA
YANG ENGGAN MENGHADAP ALLAH S.W.T DENGAN KEHALUSAN KURNIA-NYA AKAN DIHERET
(UNTUK MENGHADAP-NYA) DENGAN RANTAI UJIAN BALA.
Sekiranya Allah s.w.t telah menentukan
seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya, sudah pasti si hamba itu akan
sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah s.w.t melalui
dua cara.
Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya
nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga
dia sampai kepada Allah s.w.t. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan.
Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya.
Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t memutuskan apa sahaja yang
mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju
kepada Allah s.w.t kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti
harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu
mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut
dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala memisahkan si
hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah s.w.t.
Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang
telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk,
baharulah dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju
Allah s.w.t kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya
berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram.
Hatinya dapat bermunajat kepada Allah s.w.t dengan khusyuk kerana tidak
ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. Begitulah dua jalan yang disediakan
oleh Allah s.w.t untuk membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. Allah s.w.t
berfirman:
Dan kepada Allah
jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut,
samada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang
mereka; pada waktu pagi dan petang. ( Ayat 15 : Surah
ar-Ra’d )
Walau jalan mana pun yang ditempuh
oleh seseorang hamba itu, Allah s.w.t menantinya dengan keampunan, rahmat
dan kasih sayang-Nya. Si hamba dibawa hampir dengan-Nya dan dikurniakan
berbagai-bagai nikmat yang menggembirakan sehingga mereka tidak berasa
rugi lantaran berpisah daripada kesenangan duniawi.
Ujian menjadi batu pengasah untuk
menggilap iman seseorang. Ada orang diuji dengan rezeki, ditaburkan rezeki
kepadanya atau disempitkan. Keluasan rezeki membentuk kesyukuran dan kesempitan
membentuk kesabaran. Jiwa yang dicanai oleh kesyukuran dan kesabaran akan
menimbulkan rasa penyerahan dan pergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t.
Keluasan rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Baik, Maha Pemurah.
Kesempitan rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Keras, Maha
Perkasa. Pada kedua-duanya dia mengenali Allah s.w.t yang menghalau takdir
demi takdir dengan penuh hikmat kebijaksanaan.
(Mengapa mereka bersikap
demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (sebagai cubaan
adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya
(sebagai ujian samada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal
yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan
Allah) bagi orang-orang yang beriman. ( Ayat 37 : Surah ar-Ruum
)
Orang yang beriman dengan Allah s.w.t dan
takdir-Nya akan mendapat pimpinan-Nya. Allah s.w.t berkuasa membalikkan
hati-hati. Dipimpin-Nya hati orang yang beriman agar menghadap kepada-Nya.
Orang yang dipimpin-Nya akan berasa mudah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Kehalusan pimpinan-Nya itu membuat hamba mengenali kekuasaan-Nya pada membalikkan
hati yang keras menjadi lembut dan yang malas beribadat menjadi rajin.
Tidak ada kesusahan
(atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah;
dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk
menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah),
Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 11
: Surah at-Taghaabun )
Orang-orang yang beriman akan sentiasa
diuji kerana ujian itu membawa berbagai-bagai ganjaran, nikmat dan kurniaan
dari Allah s.w.t. Kekuatan amal ibadat tidak berdaya mengangkat darjat
seseorang hamba, lalu Allah s.w.t hantarkan ujian dan melalui ujian itulah
hamba-Nya dipersucikan dan diangkat darjatnya. Dalam melakukan yang demikian,
Allah s.w.t kenakan ujian kepada hamba-Nya melalui perkara-perkara yang
hampir dengan hamba itu, seperti harta dan keluarga.
Sesungguhnya hartabenda
kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian; dan di sisi Allah jualah
pahala yang besar. ( Ayat 15 : Surah at-Taghaabun )
Ujian menjadi pengasing, mengasingkan
hati yang beriman dengan hati yang kufur. Dalam medan ujian itu ramai manusia
disesatkan oleh iblis kerana hati mereka diselimuti oleh keraguan. Orang
yang beriman dapat bertahan menghadapi gelombang ujian itu, malah ujian
menambahkan kekuatan iman. Keupayaan mengekalkan iman di dalam mengharungi
lautan ujian membuat hamba menginsafi bahawa sebenarnya Allah jua yang
memelihara imannya itu, bukan kekuatan dirinya.
Dan sesungguhnya
iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya,
kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya
dengan hasutannya). Dan sememangnya tiadalah bagi iblis sebarang kuasa
untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari
akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu
sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap suatu. ( Ayat
20 & 21 : Surah Saba’ )
Hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t
itulah yang akan menemui kejayaan di dunia dan di akhirat.
0 komentar:
Posting Komentar