SESUNGGUHNYA
WIRID MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU MENDEKAT DAN MASUK KE
HADRAT ALLAH S.W.T.
WIRID
MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU TERSELAMAT DARI KEKUASAAN DEBU-DEBU
DUNIA DAN SUPAYA KAMU MERDEKA DARI PERBUDAKAN MATA BENDA DAN SYAHWAT KEDUNIAAN.
WIRID
MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU BEBAS DARI PENJARA WUJUD KAMU
DAN MASUK KEPADA SYUHUD (PENYAKSIAN).
Tidak mungkin bayi suci yang lahir dalam
hati dapat dipelihara dan dilindungi dengan kekuatan dan kepandaian seseorang
manusia itu. Manusia berhajat kepada Allah s.w.t untuk memelihara dan melindunginya.
Hanya kurniaan Allah s.w.t yang mendatangi hati seseorang hamba itu yang
mampu menjadi tentera menjaga khazanah kebaikan yang ada dalam hati. Kurniaan
Allah s.w.t itu hanya menetap jika suasana hati sesuai untuknya. Allah
s.w.t berkuasa mencabut semula apa juga kurniaan-Nya kepada hamba-Nya.
Kesalihan telah dicabut daripada Azazil sehingga dia menjadi iblis. Kesalihan
juga telah dicabut daripada Bal’am bin Ba’ura sehingga dia hidup di hutan
seperti haiwan. Sesiapa yang menyangka kebaikan dan kelebihan yang ada
padanya sebagai hak mutlaknya, lupa dia kepada kurniaan Allah s.w.t dan
kekuasaan-Nya, sesungguhnya orang itu menanti masa untuk menerima kemurkaan
Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t mengasihani seseorang hamba itu Dia
akan meletakkan sesuatu kelemahan pada hamba tersebut. Kelemahan itu sentiasa
membayanginya untuk memperingatkannya tentang tarafnya sebagai hamba Tuhan
yang sentiasa berhajat kepada-Nya. Nabi Muhammad s.a.w dihadapkan dengan
kelemahan dalam membuat bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, mengucapkan
dua kalimah syahadah. Nabi Nuh a.s dihadapkan dengan kelemahan dalam memujuk
isteri dan anak supaya ikut menaiki kapalnya. Orang kaya dihadapkan dengan
penyakit yang hartanya tidak mampu mengubatinya. Orang yang diberi kebolehan
dihadapkan dengan kelemahan mendapatkan sesuatu yang sangat diingininya.
Setiap orang berdiri dengan kelemahan yang tidak mungkin dia mengatasinya,
kecuali dengan izin Allah s.w.t. Hal yang demikian menjadi rahmat yang
memelihara kehambaan pada seseorang hamba itu.
Hikmat-hikmat di atas menceritakan
tentang persiapan hati untuk menerima kedatangan kurniaan Allah s.w.t.
Persiapan hati itu dinamakan wirid dan kurniaan Allah s.w.t dinamakan warid.
Aurad atau wirid adalah amal ibadat yang
dilakukan secara berterusan menurut satu pola yang tertentu. Orang yang
mengamalkan wirid akan melakukan jenis ibadat yang serupa pada tiap-tiap
hari. Jika satu-satu amalannya tidak dapat dilakukannya pada masa yang
biasa dia melakukannya kerana sesuatu halangan yang tidak dapat dielakkannya,
maka dia akan melakukan amalan yang tertinggal itu pada masa lain. Apabila
seseorang sudah beramal secara demikian dengan teguh, maka dia dikatakan
beramal secara aurad atau wirid. Amal ibadat yang dilakukan dengan banyak
hanya pada hari-hari tertentu dan tidak dilakukan dengan banyak pada
hari-hari lain tidak dinamakan wirid.
Wirid yang terbaik adalah yang menggabungkan
sembahyang, puasa dan zikir, seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w
semasa hidup baginda s.a.w. Wirid yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w
diikuti oleh para sahabat. Dari para sahabat amalan ini berkembang kepada
generasi-generasi kemudian hinggalah ke hari ini. Guru-guru yang arif kemudiannya
menyusun wirid-wirid yang boleh diamalkan oleh murid-murid mereka mengikut
darjat rohani mereka. Murid yang tekun mengamalkan wirid yang ditalkinkan
oleh gurunya berkemungkinan didatangi oleh warid.
Warid adalah pengalaman rohani yang
dikurniakan Allah s.w.t kepada hati murid yang mengekali wirid. Selain
dinamakan warid, ia juga dipanggil dengan nama-nama lain seperti hal, pengalaman
hakikat, waridah, Nur Ilahi, Sir dan lain-lain, menurut istilah tasauf
. Banyaknya istilah yang digunakan adalah kerana sukarnya mahu menceritakan
tentang apa yang sebenar berlaku pada hati seseorang yang menerima kurniaan
Allah s.w.t. Nur atau warid yang datang kepada hati seorang murid tidak
sama dengan yang lain. Masa kedatangannya juga tidak serupa, walaupun murid-murid
tersebut mengamalkan wirid yang serupa. Ada murid yang cepat mendapat warid
dan ada yang lambat bahkan ada juga yang tidak pernah memperolehinya. Tempoh
warid menetap di dalam hati juga tidak serupa. Ada yang memperolehi warid
hanya sekadar beberapa minit sahaja, kemudian ia menghilang. Ada yang bertahan
selama satu minggu, sebulan, setahun dan sebagainya. Keadaan tidak menentu
itu terjadi kerana murid belum mencapai keteguhan atau istiqamah. Warid
yang menetap hingga menjadi sifat murid itu dinamakan wisal dan dia akan
hidup berterusan dengan wisal yang menyerap pada dirinya, hingga ke akhir
hayatnya.
Seorang murid atau salik perlulah
bersungguh-sungguh mengamalkan wirid atau aurad bagi menyucikan hati agar
hati itu berada dalam keadaan yang sesuai dan layak menerima kedatangan
warid atau Nur Ilahi. Wirid adalah amalan untuk mempersiapkan diri, bukan
wirid itu yang mengangkat seseorang ke Hadrat Allah s.w.t, bukan wirid
yang mendatangkan warid. Warid adalah semata-mata kurniaan Allah s.w.t,
tetapi hanya hati yang sesuai sahaja yang boleh menanggung kedatangannya,
seperti juga wahyu yang merupakan kurniaan Allah s.w.t namun, hanya hati
nabi-nabi yang boleh menerima kedatangannya. Apabila seseorang itu menerima
kedatangan warid itu tandanya Allah s.w.t berkenan membawanya hampir dengan-Nya.
Warid yang diterima oleh hati itu menarik hati kepada Allah s.w.t dengan
mengeluarkannya dari penjara dunia dan syaitan. Kekuatan dunia, hawa nafsu,
syaitan dan mata benda tidak dapat menyekat hati yang berjalan dengan warid
kerana warid itu adalah tarikan langsung dari Allah s.w.t, bahkan orang
yang menerima warid itu sendiri tidak dapat menghalang berlakunya
kesan warid ke atas dirinya. Tarikan langsung dari Allah s.w.t mengelurkan
hati nurani dari penjara wujud dan masuk ke dalam tauhid yang hakiki, menyaksikan
(syuhud) dengan mata hatinya akan keesaan Allah s.w.t.
Orang yang hatinya didatangi warid
akan mengalami perubahan yang luar biasa. Jiwanya akan berasa tenang dan
fikirannya tidak lagi kusut-masai. Dia dapat merasakan kelazatan beribadat
dan berzikir. Warid yang masuk ke dalam hati menghancurkan sifat-sifat
yang keji dan melahirkan sifat-sifat yang terpuji.
Warid yang diterima oleh hati melahirkan
beberapa jenis perasaan. Hati mungkin berasa gembira dan mungkin juga
berasa sayu bila menerima kedatangan warid. Warid dalam suasana gembira
adalah tajalli Allah s.w.t kepada hamba-Nya dengan sifat Jamal (keindahan).
Warid yang melahirkan rasa sedih dan kecut hati adalah tajalli Allah s.w.t
dengan sifat Jalal (kebesaran). Orang yang mengalami suasana sifat keindahan
Allah s.w.t akan merasai kedamaian, ketenangan, keseronokan, kelazatan
dan sangat membahagiakan. Pengalaman rohani tersebut membuatnya mengenali
Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Lemah-lembut,
Maha Pengampun dan sifat-sifat lain yang menyenangkan. Apabila hati rohani
mengalami sifat-sifat keagungan dan keperkasaan Allah s.w.t maka akan terasa
kecut hatinya, menggeletar tubuhnya dan mungkin dia jatuh pengsan. Pengalaman
begini membuatnya mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Perkasa,
Maha Keras, Maha Tegas, Maha Hebat seksaan-Nya dan tidak ada sesuatu yang
terlepas dari genggaman-Nya.
Pengalaman warid adalah umpama Mikraj
(tangga) untuk mencapai Allah s.w.t. Warid peringkat pertama menggerakkan
hati supaya rajin beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Warid
peringkat kedua memutuskan si hamba dari pergantungan kepada makhluk dan
membulatkan semangatnya untuk berpegang kepada Allah s.w.t semata-mata.
Warid peringkat ke tiga melepaskan si hamba dari sifat-sifat kemanusiaan
dan seterusnya bebas dari kewujudan yang terbatas lalu masuk kepada Wujud
Mutlak yang tiada batas. Kesedarannya tidak ada lagi pada dirinya dan alam
maujud seluruhnya, yang ada hanya Allah s.w.t Yang Maha Esa lagi Maha Berdiri
Dengan Sendiri.
0 komentar:
Posting Komentar