JANGANLAH
KETAATAN KAMU KEPADA ALLAH S.W.T MENGGEMBIRAKAN KAMU KERANA KAMU MELIHAT
TELAH MELAKSANAKANNYA, TETAPI GEMBIRALAH KERANA MELIHAT KETAATAN ITU DATANG
DARI ALLAH S.W.T KEPADA KAMU. UCAPKANLAH:
“DENGAN SEBAB KURNIA ALLAH S.W.T KEPADA HAMBA-NYA, MAKA DENGAN DEMIKIAN ITULAH MEREKA PATUT BERGEMBIRA, ITU LEBIH BAIK DARI APA YANG MEREKA KUMPULKAN”.
“DENGAN SEBAB KURNIA ALLAH S.W.T KEPADA HAMBA-NYA, MAKA DENGAN DEMIKIAN ITULAH MEREKA PATUT BERGEMBIRA, ITU LEBIH BAIK DARI APA YANG MEREKA KUMPULKAN”.
DILARANG
KEPADA ORANG YANG MASIH BERJALAN MENUJU ALLAH S.W.T DAN ORANG YANG TELAH
SAMPAI KEPADA-NYA DARI MELIHAT KEPADA AMAL PERBUATAN MEREKA DAN AHWAL YANG
MEREKA BERADA DI DALAMNYA. ORANG YANG MASIH DALAM PERJALANAN BELUM MENCAPAI
KETEGUHAN BENAR BERSAMA-SAMA ALLAH S.W.T DALAM AMAL DAN AHWAL. ADA PUN
ORANG YANG TELAH SAMPAI, TELAH DILENYAPKAN ALLAH S.W.T KESEDARANNYA
KE DALAM PENYAKSIAN (MELIHAT-NYA), TIDAK LAGI MELIHAT KEPADA AMAL DAN AHWAL.
Hikmat 67 menghuraikan, hatilah yang
menghadap atau membelakang, berdasarkan kedudukan kerohanian seseorang.
Hati yang baharu keluar dari selimut kegelapan dan masuk kepadanya cahaya
Nur Ilahi akan melahirkan sikap gemar melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.
Kalau dahulu dia memaksa dirinya untuk beribadat, kini dia berasa mudah
untuk beribadat dan tidak berasa berat walaupun banyak ibadat yang dilakukannya.
Perubahan yang berlaku ini disedarinya dan dia sangat bergembira dengan
perubahan tersebut. Kadang-kadang dia membandingkan amal kebaikannya dengan
amal kebaikan orang lain yang masih hanyut dalam kelalaian. Bertambah ketara
kepadanya akan kekuatan dia melakukan ibadat. Bertambah pula kegembiraannya.
Lahirnya perasaan demikian adalah kerana kuat azamnya untuk berjuang membuang
sifat-sifat tercela dan menghidupkan sifat-sifat terpuji. Apabila dia melihat
sifat-sifat terpuji sudah menghiasi dirinya timbullah kegembiraannya kerana
usahanya telah mengeluarkan hasil yang baik. Beginilah kesan yang muncul
pada orang yang bersandar kepada usaha dan amalnya. Inilah yang selalu
berlaku kepada orang yang masih diperingkat permulaan, sebelum hatinya
mencapai kematangan.
Orang yang bersandar kepada usaha
dan amalnya tidak dapat maju dalam bidang kerohanian. Jika dia mahu maju
dalam perjalanannya dia hendaklah mengubah haluan pandangannya. Dia tidak
boleh lagi memandang dari amal kepada Allah s.w.t, sebaliknya dia hendaklah
memandang dari Allah s.w.t kepada amal. Dia tidak seharusnya melihat amal
sebagai kenderaan yang membawanya menuju Allah s.w.t, sebaliknya dia seharusnya
melihat amal itu adalah tarikan dari Allah s.w.t agar dia dapat menuju
kepada-Nya. Dia tidak seharusnya berasa gembira melihat amalnya membawanya
hampir dengan Allah s.w.t, kerana penglihatan begini mengandungi tipu daya.
Dia hendaklah melihat Allah s.w.t sahaja yang bertindak membawanya hampir
dengan-Nya. Amal yang lahir daripadanya adalah kurniaan Allah s.w.t sebagai
tanda bahawa dia dipersiapkan untuk bertemu dengan Tuhannya. Inilah seharusnya
membuat dia bergembira. Allah s.w.t memberi peringatan tentang perkara
ini dengan firman-Nya:
Katakanlah (wahai
Muhammad): “Dengan kurnia Allah dan dengan rahmat-Nya, maka dengan demikian
seyogialah mereka bersukacita. Itulah yang lebih baik daripada apa yang
mereka kumpulkan”. ( Ayat 58 : Surah Yunus )
Dan jika tidaklah
kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah
kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang
yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu). (
Ayat 83 : Surah an-Nisaa’ )
Ayat di atas mengajak kita melihat bahawa
diri kita tidak mempunyai sebarang daya dan upaya. Tidak bergerak sebesar
zarah pun melainkan dengan izin Allah s.w.t. Segala-galanya datang dari
Allah s.w.t. Allah s.w.t sahaja yang menciptakan segala sesuatu termasuklah
amal kebaikan yang kita lakukan. Kita sendiri tidak mampu melakukan perbuatan
baik itu. Apa juga kebaikan yang muncul dari kita adalah kurniaan Allah
s.w.t kepada kita. Amal kebaikan itu adalah rahmat dari Allah s.w.t, bukan
hasil usaha kita. Jadi, kita sepatutnya bergembira menerima rahmat-Nya
tidak bergembira melihat diri kita berbuat kebaikan.
Satu lagi tipu daya yang halus yang
sering mengganggu perjalanan seorang murid adalah keinginan untuk mengetahui
makam yang telah dicapainya. Dia suka mengintai-intai dirinya. Dia bertanya
pada dirinya apakah hatinya sudah suci bersih, apakah dia sudah mencapai
martabat wali Allah, apakah dia sudah menjadi Insan Kamil, apakah dia sudah
mencapai makam bersatu dengan Allah s.w.t, apakah sudah ada kekeramatan
pada dirinya dan lain-lain darjat kerohanian. Perkara yang seperti ini
boleh mengganggu perjalanan kerohanian kerana ia menjuruskan perhatian
kepada diri sendiri dan menambahkan kekebalan hijab diri dan semakin menutup
mata hati dari melihat kepada Allah s.w.t. Selagi dia ‘menghidupkan’ dirinya
dalam kesedarannya selagi itulah dia tidak dapat masuk ke Hadrat Allah
s.w.t.
Orang yang mahu mencapai Allah s.w.t hendaklah
terlebih dahulu mencapai makam benar bersama-sama Allah s.w.t dalam amal
dan ahwalnya. Hatinya sentiasa teguh bersama-sama Allah s.w.t, bukan bersama-sama
dirinya, amalnya dan kedudukan kerohaniannya. Maksud dan tujuan hanyalah
Allah s.w.t. Amal dan ahwal bukanlah tujuan tetapi hanya alat untuk menuju
kepada tujuan. Orang yang telah sampai kepada matlamat memperolehi kedudukan
benar bersama Allah s.w.t. Akal, nafsu dan hati berada dalam suasana harmoni.
Apabila akal dan nafsu tidak lagi menghijab, maka mata hatinya menjadi
celik dan dia masuk kepada penyaksian. Hatinya menyaksikan amal kebaikan
yang keluar daripadanya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka dia lenyap dalam
perbuatan, takdir atau lakuan Allah s.w.t. Dia tidak lagi melihat kepada
amal tersebut. Ahwal adalah tajalli Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Apabila
Allah s.w.t bertajalli, segala sesuatu binasa kecuali Wajah-Nya. Kesedaran
si hamba hilang dalam penyaksian hakiki mata hati. Pandangan yang
hakiki tidak memperlihatkan amal dan ahwalnya. Dia hanya menyaksikan
Allah s.w.t Yang Maha Esa.
0 komentar:
Posting Komentar