NUR-NUR
ILAHI ADALAH KENDERAAN HATI DAN RAHSIA HATI.
NUR
ITU IALAH TENTERA HATI, SEBAGAIMANA KEGELAPAN ADALAH TENTERA NAFSU. JIKA
ALLAH S.W.T MAHU MENOLONG HAMBA-NYA MAKA DIBANTU DENGAN TENTERA ANWAR (NUR-NUR)
DAN DIHENTIKAN BEKALAN KEGELAPAN.
NUR
ITU BAGINYA MENERANGI (MEMBUKA TUTUPAN), MATA HATI ITU BAGINYA MENGHAKIMKAN
DAN HATI ITU BAGINYA MENGHADAP ATAU MEMBELAKANG.
Allah s.w.t hanya boleh dikenal jika Dia
sendiri mahu Dia dikenali. Jika Dia mahu memperkenalkan Diri-Nya kepada
hamba-Nya maka hati hamba itu akan dipersiapkan dengan mengurniakannya
warid. Hati hamba diterangi dengan Nur-Nya. Tidak mungkin mencapai Allah
s.w.t tanpa dorongan yang kuat dari Nur-Nya. Nur-Nya adalah kenderaan bagi
hati untuk sampai ke Hadrat-Nya. Hati adalah umpama badan dan roh adalah
nyawanya. Roh pula berkait dengan Allah s.w.t dan perkaitan itu dinamakan
as-Sir (Rahsia). Roh menjadi nyawa kepada hati dan Sir menjadi nyawa kepada
roh. Boleh juga dikatakan bahawa hakikat kepada hati adalah roh dan hakikat
kepada roh adalah Sir. Sir atau Rahsia yang sampai kepada Allah s.w.t dan
Sir yang masuk ke Hadrat-Nya. Sir yang mengenal Allah s.w.t. Sir adalah
hakikat kepada sekalian yang maujud.
Nur Ilahi menerangi hati, roh dan
Sir. Nur Ilahi membuka bidang hakikat-hakikat. Amal dan ilmu tidak mampu
menyingkap rahsia hakikat-hakikat. Nur Ilahi yang berperanan menyingkap
tabir hakikat. Orang yang mengambil hakikat dari buku-buku atau dari ucapan
orang lain, bukanlah hakikat sebenar yang ditemuinya, tetapi hanyalah sangkaan
dan khayalan semata-mata. Jika mahu mencapai hakikat perlulah mengamalkan
wirid sebagai pembersih hati. Kemudian bersabar menanti sambil terus juga
berwirid. Sekiranya Allah s.w.t kehendaki warid akan didatangkan-Nya kepada
hati yang asyik dengan wirid itu. Itulah kejayaan yang besar boleh dicapai
oleh seseorang hamba semasa hidupnya di dunia ini.
Alam ini pada hakikatnya adalah gelap.
Alam menjadi terang kerana ada kenyataan Allah s.w.t padanya. Misalkan
kita berdiri di atas puncak sebuah bukit pada waktu malam yang gelap gelita.
Apa yang dapat dilihat hanyalah kegelapan. Apabila hari siang, matahari
menyinarkan sinarnya, kelihatanlah tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menghuni
bukit itu. Kewujudan di atas bukit itu menjadi nyata kerana diterangi oleh
cahaya matahari. Cahaya menzahirkan kewujudan dan gelap pula membungkusnya.
Jika kegelapan hanya sedikit maka kewujudan kelihatan samar. Sekiranya
kegelapan itu tebal maka kewujudan tidak kelihatan lagi. Hanya cahaya yang
dapat menzahirkan kewujudan, kerana cahaya dapat menghalau kegelapan. Jika
cahaya matahari dapat menghalau kegelapan yang menutupi benda-benda alam
yang nyata, maka cahaya Nur Ilahi pula dapat menghalau kegelapan
yang menutup hakikat-hakikat yang ghaib. Mata di kepala melihat benda-benda
alam dan mata hati melihat kepada hakikat-hakikat. Banyaknya benda alam
yang dilihat oleh mata kerana banyaknya cermin yang membalikkan cahaya
matahari, sedangkan cahaya hanya satu jenis sahaja dan datangnya
dari matahari yang satu jua. Begitu juga halnya pandangan mata hati. Mata
hati melihat banyaknya hakikat kerana banyaknya cermin hakikat yang membalikkan
cahaya Nur Ilahi, sedangkan Nur Ilahi datangnya dari nur yang satu yang
bersumberkan Zat Yang Maha Esa.
Kegelapan yang menutupi mata hati
menyebabkan hati terpisah daripada kebenaran. Hatilah yang tertutup sedangkan
kebenaran tidak tertutup. Dalil atau bukti yang dicari bukanlah untuk menyatakan
kebenaran tetapi adalah untuk mengeluarkan hati dari lembah kegelapan kepada
cahaya yang terang benderang bagi melihat kebenaran yang sememangnya tersedia
ada, bukan mencari kebenaran baharu. Cahayalah yang menerangi atau membuka
tutupan hati. Nur Ilahi adalah cahaya yang menerangi hati dan mengeluarkannya
dari kegelapan serta membawanya menyaksikan sesuatu dalam keadaannya yang
asli. Apabila Nur Ilahi sudah membuka tutupan dan cahaya terang telah bersinar
maka mata hati dapat memandang kebenaran dan keaslian yang selama ini disembunyikan
oleh alam nyata. Bertambah terang cahaya Nur Ilahi yang diterima oleh hati
bertambah jelas kebenaran yang dapat dilihatnya. Pengetahuan yang diperolehi
melalui pandangan mata hati yang bersuluhkan Nur Ilahi dinamakan ilmu laduni
atau ilmu yang diterima dari Allah s.w.t secara langsung. Kekuatan ilmu
yang diperolehi bergantung kepada kekuatan hati menerima cahaya Nur Ilahi.
Murid yang masih pada peringkat permulaan
hatinya belum cukup bersih, maka cahaya Nur Ilahi yang diperolehinya tidak
begitu terang. Oleh itu ilmu laduni yang diperolehinya masih belum mencapai
peringkat yang halus-halus. Pada tahap ini hati boleh mengalami kekeliruan.
Kadang-kadang hati menghadap kepada yang kurang benar dengan membelakangkan
yang lebih benar. Orang yang pada peringkat ini perlu mendapatkan penjelasan
daripada ahli makrifat yang lebih arif. Apabila hatinya semakin bersih
cahaya Nur Ilahi semakin bersinar meneranginya dan dia mendapat ilmu yang
lebih jelas. Lalu hatinya menghadap kepada yang lebih benar, sehinggalah
dia menemui kebenaran hakiki.
0 komentar:
Posting Komentar