TIDAK
ADA AMAL YANG DIHARAPKAN DITERIMA ALLAH S.W.T SELAIN AMAL YANG KAMU TIDAK
MELIHAT KEPADANYA DAN MEMANDANGNYA KECIL ATAU REMEH.
Hikmat ini mengajak kita merenung kepada
amal yang kita anggap kecil, remeh dan tidak penting. Amal yang demikian
kita lakukan seketika kemudian terus melupakannya. Misalnya, ketika kita
sedang memandu, seekor anak ayam melintasi jalan di hadapan, kita memperlahankan
kereta sehingga anak ayam itu selamat menyeberang. Misal yang lain, seekor
lalat terjatuh ke dalam minuman kita, lalu kita keluarkannya dan membiarkan
ia terbang pergi. Peristiwa seperti itu dialami dalam beberapa saat sahaja,
bersahaja, tidak menyentuh jiwa dan kemudian dilupakan buat selama-lamanya.
Amal yang seperti itulah yang perlu direnungkan kerana begitulah bentuk
amal yang diterima oleh Allah s.w.t. Amal yang demikian keluar dari kemanusiaan
yang asli dan murni. Keaslian dan kemurnian itulah yang hendak dihidupkan
dalam setiap amalan, walau bagaimana besar sekalipun amalan itu. Apalah
bezanya menyelamatkan seorang manusia dengan seekor lalat yang sama-sama
lemas di dalam air. Allah s.w.t yang mengizinkan dan menggerakkan kamu
untuk menyelamatkan lalat yang lemas itu. Allah s.w.t juga yang mengizinkan
dan menggerakkan kamu menyelamatkan manusia yang lemas. Siapakah kamu,
di manakah kamu, apakah kekuasaan kamu, apakah tindakan kamu dalam
peristiwa-peristiwa tersebut? Adakah berbeza kamu yang menyelamatkan lalat
itu dengan kamu yang menyelamatkan manusia itu? Sekiranya seseorang itu
tidak ada keegoan atau ketaksuban terhadap dirinya sendiri dan hatinya
tawadhuk kepada Allah s.w.t, maka dia akan melihat Allah s.w.t yang menyelamatkan
lalat dan Dia juga yang menyelamatkan manusia itu. Ambillah iktibar dari
amal yang kecil-kecil dan dipandang remeh dalam membentuk amal yang besar-besar
dan dipandang penting, supaya kamu tidak melihat kepada amal ketika beramal.
Nilai sesuatu amal terletak pada
ikhlas yang mengiringi amal tersebut dan ikhlas melepaskannya. Biasa terjadi
seseorang itu ikhlas ketika berbuat kebaikan tetapi keikhlasan itu terusik
kemudiannya. Kebanyakan manusia enggan melepaskan perbuatan baik yang telah
mereka lakukan. Mereka suka mengingati dan menyebut kebaikan tersebut.
Perbuatan demikian boleh membawa seseorang jatuh ke dalam samaah, iaitu
menceritakan kebaikan supaya dirinya diperakui dan disanjung sebagai seorang
yang baik. Samaah menjadi minyak yang memudahkan riak menyala. Apabila
riak sudah menyala segala kebaikan yang telah dibuatnya akan terbakar.
Apa yang tinggal dalam simpanan akhiratnya hanyalah debu-debu yang tidak
berharga. Orang tersebut akan menjadi orang yang memikul peti besi yang
besar berisi debu untuk dibukakan di hadapan Tuhan. Mereka gembira di dunia
tetapi kehampaan di akhirat.
Orang yang berada dalam suasana asbab perlu
menghidupkan ikhlas dan memeliharanya agar tidak dirosakkan oleh ujub,
riak dan sama'ah. Ikhlas dihidupkan dengan meniadakan kepentingan diri
apabila berhubungan dengan orang lain. Ikhlas dipelihara dengan cara tidak
mengikat kebaikan yang dibuat itu sama ada di mulut ataupun di ingatan.
Serahkan segala kebaikan yang dibuat kepada Allah s.w.t, tidak perlu kita
menyimpan di mulut kita. Ketahuilah, memelihara ikhlas lebih sukar daripada
menghidupkan ikhlas. Seseorang hanya perlu berperang sekejap sahaja dengan
nafsunya sebelum berjaya melakukan sesuatu perbuatan dengan ikhlas, tetapi
dia perlu berperang dengan nafsunya sepanjang hayatnya untuk memelihara
ikhlas yang sudah dilakukannya dahulu.
Walau melalui arah mana pun diperhatikan,
persoalannya tetap kembali kepada hati. Hati menjadi medan perebutan kuasa
di antara nafsu dengan ikhlas. Modal nafsu adalah kepentingan diri. Nafsu
mengingatkan sesuatu yang dia ada kepentingan atau hak padanya telah dilepaskan
kepada orang lain. Oleh kerana nafsu tidak mati maka ingatannya kepada
yang kehilangan itu juga tidak mati. Jihad terhadap nafsu ini berpanjangan.
Ikhlas adalah umpama bayi suci yang perlu dipelihara dan dilindungi daripada
dibaham oleh harimau nafsu.
Cara menundukkan harimau nafsu adalah
jangan memberinya makan. Makanannya adalah cerita mengenai haknya yang
telah terlepas ke tangan orang lain. Racun bagi harimau nafsu adalah cerita
mengenai kebaikan Tuhan yang membahagikan nikmat yang tidak terhingga kepada
makhluk-Nya. Penetapan hak Allah atau Allah jualah Pemilik sebenar, akan
melindungi bayi suci daripada musuh-musuh yang mahu mencederakannya.
0 komentar:
Posting Komentar